KUALA LUMPUR: Sarawak akan mengadakan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 11 hingga 13 Jun tahun hadapan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, persidangan dan pameran tersebut akan menjadi satu peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hidrogen hijau dan potensinya untuk membantu meningkatkan kapasiti negeri dan pengetahuan dalam hidrogen hijau.
Menurutnya lagi, ia juga akan menarik lebih banyak pelaburan ke Sarawak, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan laluan penting untuk Sarawak mempamerkan potensi hidrogen hijaunya kepada pelabur dan rakan kongsi baharu.
“Melalui APGH 2024, ia akan mengumpulkan pakar terkemuka dari seluruh dunia untuk membincangkan perkembangan terkini dalam hidrogen hijau, terutamanya dalam bidang teknologi, dasar, peraturan dan pembangunan infrastruktur.
“APGH 2024 juga akan menyediakan platform untuk perniagaan menjalin rangkaian dan meneroka peluang untuk kerjasama.
“Apa yang saya juga teruja ialah peluang untuk belia kita memanfaatkan platform ini untuk menemui minat dan peluang mereka dalam tenaga bersih, peralihan tenaga dan dalam Hidrogen Hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni semasa Majlis Pelancaran Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 di sini pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, persidangan peringkat antarabangsa seperti APGH 2024 juga akan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam pasaran hidrogen hijau global.
Jelas beliau, Sarawak memiliki sumber semula jadi yang banyak seperti sumber tenaga boleh diperbaharui daripada sungai, tanah yang luas untuk mengembangkan asas pembuatan dan politik yang stabil.
APGH 2024 dianjurkan Borneo Business Connect Sdn Bhd dan disokong Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) dan Acara Perniagaan Sarawak disasarkan menarik seramai 100 peserta pameran, 500 delegasi persidangan dan 4,000 pelawat perdagangan.