KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg percaya acara peringkat antarabangsa seperti Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 akan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam pasaran hidrogen hijau global.
Berucap pada Majlis Pelancaran APGH 2024 di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini, Abang Johari berkata menerusi APGH 2024, pakar terkemuka dari seluruh dunia dikumpulkan untuk membincangkan perkembangan terkini dalam hidrogen hijau terutama dalam bidang teknologi, dasar, peraturan dan pembangunan infrastruktur.
Justeru katanya, APGH 2024 akan menyediakan platform untuk perniagaan menjalin rangkaian dan meneroka peluang kerjasama.
“Saya berasa teruja untuk belia kita kerana mereka akan mendapat peluang memanfaatkan platform ini bagi menemui minat dan peluang masing-masing dalam tenaga bersih, peralihan tenaga dan dalam hidrogen hijau.
“Malah, saya percaya persidangan dan ekspo ini akan dijadikan peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hidrogen hijau dan potensinya dalam membantu mencapai cita-cita iklim kita, sambil meningkatkan kapasiti dan pengetahuan negeri dalam hidrogen hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata APHG 2024 akan menarik pelaburan tambahan ke Sarawak, mewujudkan pekerjaan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan laluan penting untuk Sarawak mempamerkan potensi hidrogen hijaunya kepada pelabur dan rakan kongsi baharu.
“Kerajaan negeri benar-benar percaya bahawa kita sentiasa bersedia untuk menjadi destinasi utama bagi pelaburan hidrogen hijau,” katanya.
Malah menurutnya juga, acara itu akan menyokong pembangunan ekonomi hidrogen Sarawak dengan mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan dan usahawan, khususnya usahawan muda.
“Saya ingin memberi tumpuan khusus kepada usahawan muda kerana mereka adalah masa depan kita dan diharapkan peluang yang kita cipta di Sarawak akan menarik mereka untuk melabur di negeri ini, seterusnya membantu mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk penduduk tempatan,” jelas beliau.
Dalam pada itu Abang Johari berkata, menerusi pengalaman dan keupayaan pengurusan rakan kongsi Borneo Business Connect Sdn Bhd dan sokongan Business Events Sarawak, beliau yakin persidangan dan ekspo ini akan menjadi satu kejayaan yang memberangsangkan.
“Adalah menjadi harapan saya bahawa melalui APGH 2024, kita akan merebut peluang untuk menjalin rangkaian dengan syarikat antarabangsa dan pakar dalam semangat belajar antara satu sama lain selain menjadikan persidangan dan ekspo itu sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi hidrogen di Sarawak,” ujarnya.
Untuk rekod, APGH 2024 yang disokong oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak dan Sarawak Business Event itu akan berlangsung buat julung kalinya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 11 hingga 13 Jun 2024.
Persidangan dan ekspo itu dijangka menarik 100 peserta pameran, 500 delegasi persidangan dan 4,000 pelawat perdagangan.
Hadir sama pada majlis pelancaran APGH 2024, Pengerusi Borneo Business Connect Sdn Bhd Tan Sri Asmat Kamaludin, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Abang Ahmad Abang Morni dan tetamu lain.