APGH 2024 pacu inovasi, tarik pelaburan dalam hidrogen hijau – Fadillah

PUTRAJAYA, 4 Mei: Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) adalah kritikal dalam memacu inovasi dan menarik pelaburan dalam hidrogen hijau, sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mencapai neutraliti karbon.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan sedang giat meneroka kerjasama antarabangsa untuk menyegerakan peralihan kepada ekonomi rendah karbon, memandangkan hidrogen mempunyai potensi besar sebagai peneraju tenaga bersih masa depan.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air baru-baru ini menerima kunjungan hormat penganjur APGH 2024 yang diketuai Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

APGH 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak dijangka menarik pembabitan 100 peserta pameran, 500 delegasi persidangan, 50 penceramah, dan 4,000 pelawat perdagangan dari beberapa negara termasuk Jepun, Korea, Wilayah Nordik, Chile, Brazil, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Sementara itu Hazland berkata melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID, Sarawak giat meneruskan inisiatif seperti pembangunan hidrogen, sumber tenaga boleh diperbaharui, penangkapan dan penyimpanan karbon, dan bahan api penerbangan mampan.

“Usaha ini secara langsung menyumbang kepada mengurangkan jejak karbon kita dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Pada APGH 2024, pakar-pakar antarabangsa yang dijemput akan berkongsi pandangan global mereka untuk menambah pengetahuan kolektif dan asas kemahiran kita, dengan memberi kepada pasaran hidrogen,” katanya.

Semasa lawatan itu pihak penganjur telah menekankan komitmen kukuh mereka untuk mempercepatkan matlamat peralihan hidrogen hijau dan tenaga Malaysia.

Mereka turut menggariskan rancangan untuk memudahkan perkongsian pengetahuan, menjalin perkongsian strategik dan mempamerkan kemajuan terkini dalam teknologi, inovasi dan penyelesaian yang mampan untuk pengeluaran dan penggunaan hidrogen hijau. -TVS

Have a confidential tip for our reporters? Get in Touch

Scroll to Top