KUCHING, 19 Jan: Kewujudan Borneo Power Grid akan melonjakkan kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga hidrogen di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Sarawak pada ketika ini mendahului negeri lain dalam tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen.
“Sarawak setakat ini telah mencapai 62 peratus penggunaan tenaga daripada sumber tenaga boleh baharu, manakala Semenanjung Malaysia hanya mencatatkan 24 peratus.
“Oleh itu, salah satu pendekatan yang telah dipersetujui adalah untuk menyokong Sarawak dalam usaha menjadi hab hidrogen utama di rantau ini, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat Asia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Emas / OKU Kawasan Sungai Tengah Matang sempena Tahun Baharu Cina 2025 anjuran bersama Pusat Khidmat P194 Petra Jaya & SUPP Matang di sini, hari ini.
Dalam usaha untuk meningkatkan hubungan Sarawak yang akan menjadi pembekal tenaga kepada negeri lain, beliau berkata, dari segi dasar dan perkara yang telah dipersetujui, akan diwujudkan hubungan melalui kabel dasar laut untuk membekalkan tenaga ke Semenanjung Malaysia serta Singapura.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, dalam konteks kerjasama serantau di bawah ASEAN, selain daripada ASEAN Power Grid, usaha untuk mewujudkan Borneo Power Grid juga menjadi fokus utama.
“Borneo, dalam konteks ini, merujuk kepada usaha untuk menghubungkan Sarawak, Brunei, Sabah, dan keseluruhan Kalimantan melalui rangkaian grid tenaga. Ini merupakan salah satu agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan Menteri-Menteri Tenaga di peringkat ASEAN pada masa hadapan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut mengulangi bahawa di bawah PETRA untuk memastikan peningkatan komitmen terhadap pembangunan stesen pengecasan di peringkat kebangsaan termasuk memastikan bahawa menjelang penghujung tahun ini, terdapat 10,000 stesen pengecasan untuk kenderaan EV di seluruh negara, termasuk di kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Malaysia.
Turut hadir ialah isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Datin Sri Ruziah Mohd Tahir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman. – TVS